14 individu termasuk dua wanita didakwa di Mahkamah Sesyen George Town, Pulau Pinang, atas pertuduhan terlibat dalam kumpulan jenayah terancang sekitar 2016 hingga 2021.

Kesemua tertuduh, dipercayai mempunyai kaitan dengan Geng Chandra dalam tempoh tersebut. Selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid kesemua tertuduh mengangguk faham.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan dalam prosiding tersebut.

Pengakuan hanya akan direkodkan di Mahkamah Tinggi. kerana tuduhan melibatkan kes keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), bukan di bawah bidang kuasa Mahkamah Sesyen.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Chandra’ antara Januari 2016 dan 12 Mac 2021 di daerah Timur Laut dan didakwa di bawah Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah sub seksyen sama.

Prosiding dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fakhrurazi Ahmad Salim, Saifuddin Rafaie dan Rohaiza Abdul Rahim, sementara hanya tujuh tertuduh diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan semua tertuduh diikat jamin, walaupun peguam yang mewakili tertuduh memohon jaminan untuk anak guam masing-masing dan menetapkan sebutan semula kes pada 5 Ogos depan.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini