Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) telah mula mengimport ayam bulat daripada pengeluar ayam dengan simpanan stok pertama sebanyak 21 tan metrik dalam satu kontena yang dijangka tiba hari ini.

Menurut Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), ayam diimport daripada pengeluar yang telah mendapat pengesahan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

LPP menerusi satu kenyataan turut memaklumkan, bekalan seterusnya akan dibawa masuk Isnin ini dan ditempatkan di bilik sejuk beku NAFAS di Sungai Bakap, Pulau Pinang.

NAFAS dan Gabungan Pertubuhan Peladang Negeri berperanan melaksanakan program stok penimbal ayam bagi tujuan menstabilkan keperluan bekalan ayam negara.

Menurut LPP lagi, program tersebut dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Sementara itu, pengedaran ayam pula adalah melalui jaringan rangkaian Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan FAMA.

LPP akan memantau pelaksanaan penjadualan pengimportan oleh NAFAS.

Tiga PPN iaitu PPN Selangor, Johor dan Perak dikenal pasti bagi membantu NAFAS menjayakan program tersebut dengan beberapa PPN lain akan turut sama dilibatkan mengikut keperluan semasa.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini