Empat remaja lelaki termasuk tiga beradik yang melarikan diri dari sebuah rumah anak yatim di Kuantan, Pahang, awal pagi semalam, ditemukan selamat, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, remaja berusia antara 13 dan 15 tahun itu ditemukan di rumah bapa saudara salah seorang daripada mereka di Kampung Kempadang, Kuantan.

ACP Wan Mohd Zahari berkata, mereka kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan untuk tindakan lanjut. Pihak polis sebelum itu memulakan operasi pencarian selepas menerima laporan kehilangan empat remaja lelaki berkenaan yang melarikan diri dari rumah anak yatim.

Kehilangan empat remaja terbabit disedari apabila penyelia asrama dimaklumkan oleh penghuni lain pada pukul 12.30 tengah malam. Empat remaja itu dipercayai melarikan diri melalui pintu belakang asrama.

Siasatan mendapati, mereka dipercayai melarikan diri kerana tidak berpuas hati dengan penyelia yang melarang menggunakan telefon. Empat remaja lelaki itu sudah menetap di rumah anak yatim berkenaan antara satu dan dua tahun.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini