Bagi menyokong Kempen Penghijauan Malaysia:Penanaman 100 juta Pokok, sebanyak 54 pohon pokok Bunga Tanjung ditanam di kawasan Kampung Seberang Jaya, Kuala Perlis.

Usaha ini bagi meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan litupan hijau dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup selain usaha untuk menambahbaik ekosistem dan biodiversiti negara.

Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, Ag. Shaffie Ag. Ahmadni, penanaman pokok Bunga Tanjung juga bagi memberikan perlindungan daripada tiupan angin kencang yang sering bertiup di kawasan berkenaan yang merupakan salah sebuah kampung yang terlibat dengan Projek DiRaja Kampung Warna-Warni Program Transformasi Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis.

Pokok-pokok yang disumbangkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri tersebut apabila besar kelak diharap akan membantu bertindak sebagai penampan atau pemecah angin bagi mengurangkan kesan langsung kepada kawasan perumahan jika berlaku angin kencang.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyempurnakan simbolik penanaman 54 pokok bagi mengambil sempena usia baginda yang menyambut Hari Ulangtahun ke 54 pada 30 Disember 2021 lalu.

Baginda turut mengajak seluruh lapisan rakyat untuk sama-sama menjayakan kempen ini kerana komitmen dan penglibatan semua pihak amat diperlukan.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini