Sebanyak 58.11 peratus rakyat Melaka lengkap menerima dua dos vaksin setakat ini. Ia sekaligus membuka peluang peralihan ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam masa terdekat. Jelas Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berdasarkan data terkini Laporan Vaksinasi Harian Negeri Melaka Isnin lepas, bilangan populasi dewasa di Melaka yang lengkap dua dos seramai 393,607 orang.

Ia daripada jumlah keseluruhan seramai 677,400 orang yang layak. Keputusan beralih ke Fasa Dua PPN akan diputuskan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini. Sebelum ini kerajaan menetapkan nilai ambang baharu peralihan fasa PPN untuk negeri dalam fasa satu yang mencapai kadar vaksinasi perlu sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk dewasa.

Melaka mengalami kekurangan bekalan vaksin bulan lalu sehingga menjejaskan usaha mencapai sasaran 50 peratus vaksinasi lengkap lebih awal. Usaha giat dilakukan untuk mempercepatkan pemberian vaksin kepada golongan peniaga menerusi Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC).     

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini