Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020

Indonesia melangkah ke perlawanan akhir selepas mencatat kemenangan 4-2 ke atas Singapura yang beraksi dengan lapan pemain pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Nasional, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad Garuda mara dengan keputusan agregat 5-3 selepas kedua-dua pasukan seri 1 sama pada aksi pertama.

Aksi penuh dramatik itu dimulakan dengan jaringan pembukaan Indonesia seawal minit ke-11 menerusi Ezra Walian.

Singapura yang cuba bangkit menyamakan kedudukan, menerima kejutan apabila pemainnya, Safuwan Baharudin menerima kad kuning kedua, sekali gus diperintahkan keluar padang pada hujung babak pertama.

Bagaimanapun, situasi itu tidak mematahkan semangat Singapura yang akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi pemain sayap Song Ui-yong 2 minit kemudian.

Babak kedua menyaksikan perlawanan bertambah panas selepas seorang lagi pemain Singapura, Irfan Fandi dilayangkan kad merah kerana menyiku pemain lawan.

Namun, ia sekali lagi tidak menghalang The Lions untuk di depan lapan minit kemudian  menerusi sepakan percuma Shahdan Sulaiman pada minit ke-74.
 
Pemain gantian, Pratama Arhan muncul penyelamat  Indonesia apabila menyamakan kedudukan 2 sama pada minit ke-88.

Singapura berpeluang mendapatkan gol ketiga, namun sepakan penalti Faris Ramli berjaya diselamatkan penjaga gol Indonesia, Nadeo Argawinata pada minit ke-89, sekali gus memaksa permainan disambung ke masa tambahan.

Tuah nyata memihak kepada Indonesia apabila, jaringan sendiri Shawal Anuar dan gol Egy Maulana Vikri menafikan peluang Singapura ke final sebelum skuad bimbingan Tatsuma Yoshida itu dipaksa bermain dengan lapan pemain, selepas penjaga gol Hassan Sunny dilayakan kad merah kerana kekasaran di luar kotak penalti.

Menanti Indonesia di pentas final adalah pemenang di antara Thailand dan juara bertahan Vietnam yang akan beraksi dalam satu lagi aksi separuh akhir malam ini. 

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini