Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berangkat melawat penduduk terjejas akibat tanah runtuh di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Penchala, Jalan Damansara, Kuala Lumpur hari ini.

Dalam lawatan itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan meluangkan masa hampir sejam menyantuni dan beramah mesra bersama penduduk yang terjejas  tanah runtuh di  PPS itu.

Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 43 keluarga dan berharap ia dapat mengurangkan beban yang ditanggung mangsa akibat musibah yang dihadapi.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di PPS tersebut pada pukul 2.09 petang, disambut Menteri Wilayah Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Kejadian tanah runtuh di Jalan Palimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala berlaku pada 20 Disember lalu kira-kira pukul 1.20 pagi.

284 penduduk terjejas akibat bencana itu, melibatkan 94 buah rumah.

Daripada jumlah itu, 24 buah rumah musnah dan 70 lagi berisiko.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini