Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga sasterawan negara Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Ahmad Kamal, yang lebih dikenali dengan nama pena Kemala, dan berharap seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan.

Seri Paduka Baginda dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook semalam turut menyatakan penghargaaan atas khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara serta menyifatkannya sebagai suatu kehilangan besar kepada negara khasnya dalam dunia sastera tanah air.

Allahyarham aktif dalam bidan bahasa dan persuratan Melayu serta banyak memberi sumbangan dalam perkembangan sastera tanah air dan nusantara.

Beliau pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka dari 1968 sebagai penolong penyunting sebelum menjadi editor majalah sastera dan bersara pada 1996 sebagai Ketua Bahagian Kesusasteraan Bandingan.

Allahyarham, yang juga penyair, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-11 yang membawa gelaran Sasterawan Negara pada 2011 serta pernah merangkul Anugerah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA).

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini