Rakyat Malaysia di luar negara perlu menjaga dan mengharumkan nama tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama. Yang Di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah setiap rakyat Malaysia yang berjaya dalam bidang masing-masing bakal menjadi contoh kepada yang lain untuk memartabatkan nama negara di persada antarabangsa. Bertitah pada sesi majlis ramah mesra bersama rakyat Malaysia di Emirates Palace, Abu Dhabi sempena lawatan khas tiga hari ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) , Sultan Abdullah mahu rakyat Malaysia di luar negara menjadi wakil negara yang boleh dibanggakan. Baginda turut mengharapkan rakyat Malaysia yang telah berjaya agar dapat menabur bakti di tanahair dengan pengalaman dimiliki. Dalam titah tersebut, Sultan Abdullah turut melahirkan keyakinan terhadap hubungan antara Malaysia dan UAE akan terus kukuh dan bertambah erat dalam pelbagai bidang pada masa kini dan akan datang. Pada majlis sama, baginda berkenan beramah mesra dengan kira-kira 200 komuniti Malaysia yang berada sekitar Abu Dhabi dan Dubai.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini