Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas pemain hoki kebangsaan, Freddy Wilfred Vias yang meninggal dunia, dua hari lepas.

Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mendiang dan berharap agar seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

Menerusi Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang kepada negara dan menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada sukan hoki negara.

Freddy meninggal dunia di rumahnya di Petaling Jaya pada usia 93 tahun. Mendiang adalah pemain pasukan kebangsaan pada era 1950-an dan pernah dipilih menjadi kapten pasukan kebangsaan pada tahun 1954.

Freddy juga salah seorang pemain utama yang membantu skuad negara untuk membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik 1956 Melbourne, Australia.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini