Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah pencapaian cemerlang Abdul Latif Romly membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.

Dalam catatan menerusi laman Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka berdua bertitah ia juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada atlet kelahiran Perlis itu dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dan memahat sejarah serta mengharumkan nama di kejohanan akan datang.

Pada aksi semalam, juara bertahan Rio 2016 Abdul Latif, sekali lagi menggegarkan pentas Paralimpik, apabila memenangi pingat emas acara lompat jauh lelaki T20.

Abdul Latif meninggalkan jauh pencabar lain dengan lompatan 7.45 meter.

Kejayaan beliau itu menyaksikan Malaysia telah mengutip tiga emas, sekali gus mencapai sasaran ditetapkan sebelum ini.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini