Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi semalam atas tuduhan pindaan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Hakim, Datuk Mohd Yazid Mustafa mengarahkan pertuduhan pindaan dibacakan semula selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob untuk meminda pertuduhan ketiga.

Pertuduhan pindaan itu membabitkan pertukaran Euro 15,000 kepada 15,000 Swiss Franc.

Mengikut pertuduhan pindaan itu, Ahmad Zahid didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri telah mendapat untuk dirinya, sesuatu benda berharga iaitu wang tunai 15,000 Swiss Franc tanpa balasan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), yang beliau mengetahui syarikat tersebut mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Country Heights, Kajang pada Mei 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Ia memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini