Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2022 (Akta A1644) berkuat kuasa hari ini setelah mendapat perkenan diraja 19 Januari lalu.

Akta A1644 yang telah dimasukkan ke dalam warta pada 25 Januari lalu diharap mampu memberi solusi terbaik dalam menzahirkan usaha Malaysia menangani jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran dengan lebih efektif.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata akta itu merupakan instrumen perundangan utama negara dalam mendepani isu perhambaan zaman moden sekali gus membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di Malaysia.

Secara keseluruhannya, terdapat 17 peruntukan dipinda dengan penambahbaikan yang melibatkan pindaan bagi beberapa perkara.

Antaranya pindaan kepada tafsiran pemerdagangan orang dan pemansuhan tafsiran paksaan serta peningkatan hukuman penjara dan pengenaan hukuman sebatan.

Pindaan lain membabitkan peruntukan kesalahan yang lebih berat termasuk penjawat awam dan pewujudan kuasa menteri dalam pelantikan mana-mana pegawai awam sebagai penguatkuasa di bawah Akta 670.

Pindaan juga melibatkan peluasan peranan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam pengurusan serta kawalan pegawai pelindung selain rumah perlindungan mangsa pemerdagangan orang.

Beliau berkata pendekatan menyeluruh kerajaan diyakini mampu menambah baik kedudukan Malaysia dalam sebarang penilaian antarabangsa sekali gus meningkatkan imej negara di mata masyarakat dunia.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini