Datuk Amran Mohamed Zin dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar, berkuat kuasa hari ini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata Datuk Amran  yang sebelum ini Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar menggantikan Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob yang tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 31 Mei lepas.

Pelantikan beliau, 55 tahun berdasarkan kelayakan dan pengalaman luas beliau dalam bidang hubungan antarabangsa dan hal ehwal luar negeri menerusi karier perkhidmatannya.

Beliau percaya pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki Datuk Amran mampu merealisasikan misi kementerian dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar luar negara serta memajukan dan melindungi kepentingan Malaysia.

Datuk Amran yang telah berkhidmat lebih 27 tahun dalam perkhidmatan awam, pernah berkhidmat sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, Switzerland dan Duta Besar ke Turki.

Tan Sri Mohd Zuki turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram atas sumbangan dan khidmat bakti beliau.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini