Seif al-Islam Kadhafi, anak bekas pemimpin Libya, Muammar Gadafi, hari ini, hadir mendaftarkan diri untuk bertanding dalam pilihan raya presiden yang akan berlangsung bulan depan. Ia dilihat sebagai langkah penting bagi Libya membuka lembaran baharu, sekali gus mengakhiri kemelut yang sudah berlarutan sejak sedekad lalu.

Pilihan raya pertama presiden Libya, dengan pusingan pertama pada 24 Disember, adalah kemuncak proses dilancarkan tahun lalu oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk menamatkan siri keganasan, sejak kerajaan pimpinan Gadafi digulingkan pada 2011.

Seif al-Islam menyerahkan pencalonannya untuk bertanding dalam pilihan raya presiden kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Tinggi Kebangsaan di bandar Sebha. Julai lalu, beliau tampil selepas menghilangkan diri, dan memaklumkan untuk membuat kemunculan semula dalam dunia politik.

Beliau sebelum ini menyatakan hasrat untuk mengembalikan perpaduan yang hilang di Libya, selepas dilanda huru-hara dan tidak menolak kemungkinan bakal bertanding dalam pemilihan presiden. Libya membuka sesi pendaftaran esok untuk pencalonan pilihan raya presiden dan Parlimen.

Kedua-dua pilihan raya dijadual diadakan pada 24 Disember, tetapi Parlimen pada bulan lalu mengasingkan tarikh pengundian dengan menunda pilihan raya bagi kerusi Parlimen sehingga Januari tahun depan.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini