Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Maritim Kuala Perlis merampas 587 biji pil kuda  dianggarkan bernilai lebih kurang RM14,675 dan 500kg daun ketum bernilai RM90,000  dalam dua kejadian berasingan awal pagi semalam di sekitar perairan Kuala Perlis.

Rampasan pertama dibuat ke atas sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran dipercayai dikemudikan oleh lelaki disyaki warga Thailand di kedudukan 0.2 batu nautika daripada muara Kuala Perlis sekitar jam 1.45 pagi.

Bot ronda Maritim Malaysia berjaya memintas bot terbabit, namun bot tersebut memecut laju ke arah kawasan hutan paya bakau berhampiran dan suspek bertindak terjun ke laut meninggalkan bot dan berenang melarikan diri ke dalam paya bakau.

Hasil pemeriksaan ke atas bot menjumpai tiga paket kecil plastik berwarna biru yang disyaki pil kuda yang disembunyikan di dalam tin berwarna merah di bahagian hadapan bot.

Seterusnya, dalam kejadian jam 5.30 pagi, sebanyak 50 bungkusan plastik berwarna hitam dipercayai mengandungi daun ketum dirampas pada kedudukan 0.2 batu nautika daripada barat pantai Sungai Baru.

Keseluruhan bungkusan daun ketum tersebut dianggarkan seberat 500 kilogram dengan nilai RM90,000 mengikut anggaran nilai semasa di negara Thailand iaitu RM180 bagi sekilogram.

Pil kuda, daun ketum, bot beserta enjin telah dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis.

Bagi kes pil kuda terbabit kes akan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 Seksyen 39 (B), manakala kes daun ketum akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini