Amerika Syarikat, AS dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, PBB mengecam junta Myanmar berhubung dakwaan pembunuhan 11 penduduk kampung, termasuk kanak-kanak, secara kejam di wilayah tengah negara itu.

Mengikut laporan yang boleh dipercayai Washington, kesemua mangsa dari Kampung Dontaw di wilayah Sagaing diikat sebelum dibakar hidup-hidup tentera Myanmar.

Menurut media tempatan, tentera Myanmar terdahulu menahan 11 penduduk kampung berkenaan susulan serangan bom dan periuk api ke atas konvoi askar junta sehari sebelumnya.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price berkata, Washington amat berang dengan laporan insiden yang boleh dipercayai itu di barat laut Myanmar.

Bagaimanapun, kerajaan junta yang merampas kuasa Februari lalu menafikan dakwaan Washington.

Menurut seorang saksi yang enggan namanya didedahkan, mereka melihat mayat rentung dengan tangan terikat terbaring di atas tanah.

Sementara itu, penunjuk perasaan antikerajaan Myanmar melancarkan serangan senyap dengan menutup perniagaan dan mengosongkan jalan raya di bandar dan pekan seluruh negara, hari ini.

Ia bagi membantah pentadbiran junta di Myanmar.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini