Jaguh berbasikal trek kebangsaan Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan juara All England 2021, Lee Zii Jia merupakan antara 15 calon atlet dikemukakan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menerima Biasiswa Olimpik daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, kesemua 15 atlet itu dipilih daripada keseluruhan 40 pencalonan diterima pihaknya menerusi 11 jenis sukan bagi menikmati biasiswa sebagai persiapan untuk menghadapi Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat lembaga eksekutif MOM kali ketiga sesi 2021/2025 di Wisma MOM.

Selain Azizulhasni dan Zii Jia, Mohamad Norza mengumumkan atlet lain yang tersenarai adalah lima lagi pemain badminton negara iaitu Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Pearly Tan, M.Thinaah dan S. Kisona serta dua lagi atlet berbasikal trek iaitu Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhd Fadhil Zonis.

Beliau berkata ratu terjun, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri, Khairul Anuar Mohamad yang mewakili memanah serta tiga pelayar kebangsaan, Nuraisyah Jamil, Juni Karimah Noor Jamali dan Nur Shazrin Mohd Latif juga berpeluang menerima biasiswa itu.

Antara bekas atlet kebangsaan yang pernah menerima biasiswa itu adalah dua atlet olahraga iaitu Watson Nyambek dan Yuan Yufang selain Ong Ewe Hock, Cheah Soon Kit dan Choong Tan Fook dari badminton serta atlet pelayaran Kelvin Lim.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini