Cabaran pasukan tuan rumah pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2022 berakhir. Ia susulan kekalahan beregu lelaki nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada aksi separuh akhir.

Hasrat beregu di kedudukan keenam dunia itu untuk mencipta kejutan menentang Juara Dunia 2021, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi tidak kesampaian apabila tewas 21-23, 9-21 di Arena Axiata.

Biarpun memberikan tentangan sengit dan mendahului 18-14 pada set pertama, namun mereka gagal mengambil peluang itu untuk mencipta kemenangan sebaliknya membuka ruang kepada beregu Jepun menguasai perlawanan.

Kekalahan itu turut menyaksikan Aaron-Wooi Yik, yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 masih kempunan meraih gelaran Jelajah Dunia BWF sulung mereka. Terdahulu, satu lagi beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tewas 14-21, 12-21 kepada beregu ranking ketujuh dunia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia.