Sebanyak RM30 juta diperuntuk bagi menaik taraf infrastruktur bangunan kerajaan supaya mesra orang kurang upaya (OKU), sekali gus memastikan golongan itu tidak pernah dipinggirkan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata peruntukan itu antaranya bagi menyediakan lebih banyak laluan khas bagi kegunaan golongan cacat penglihatan.

Sebanyak RM10 juta diperuntuk untuk Pusat Latihan Berdikari dan sebuah Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Kerajaan bagi melaksanakan program latihan serta bimbingan ajar kepada golongan OKU.

Dalam memastikan anak muda OKU mempunyai tempat untuk menceburi bidang pekerjaan, kerajaan akan menyediakan kuota khas satu peratus untuk program MyStep kepada golongan OKU.

Kerajaan juga bersetuju menanggung sepenuhnya bayaran Lesen Kenderaan Motor kepada semua kenderaan persendirian dimiliki OKU yang diharapkan dapat meringankan kos sara hidup golongan berkenaan.

Peranan digalas jurubahasa isyarat amat dihargai apabila nama Tan Lee Bee, Khairunnisa Kho Abdullah, Wan Zuraidah Abu dan Goh Soo Leng disebut ketika pembentangan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat.

Bagi meningkatkan akses terhadap media, selain membolehkan golongan OKU cakna dengan berita semasa dan informasi terkini, dengan bantuan BERNAMA, semua rangkaian TV termasuk saluran swasta akan menyediakan jurubahasa isyarat dalam penyampaian berita.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan turut bercadang memperluaskan Program Pemulihan Dalam Komuniti yang menjadi antara medium intervensi awal untuk anak-anak OKU meningkatkan kemahiran diri dan menceburi pekerjaan.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini