Kerajaan menyediakan RM5 juta kepada Yayasan Kepimpinan Wanita bagi merancakkan penyertaan wanita dalam sektor ekonomi terutama menerusi latihan kepimpinan muda dan program keusahawanan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata peruntukan itu bermatlamat membantu usahawan wanita yang turut terkesan akibat COVID-19.

Selain itu, katanya, sebagai langkah meningkatkan kapasiti perniagaan mereka, sebanyak RM230 juta dana pembiayaan akan disediakan antaranya melalui Program DANANITA di bawah MARA dan TEKUNITA di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Urus Niaga (TEKUN).

Program MyKasih Kapital akan dilaksana untuk menggalakkan wanita menjana pendapatan dari rumah. Insentif dalam bentuk bantuan asas modal perniagaan akan diberi, selain program bimbingan bagi menggalakkan perniagaan secara dalam talian.

Ia diharap memberikan manfaat kepada 5,000 peserta termasuk 2,000 ibu tunggal daripada program ini.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi menambah baik sistem sokongan sedia ada bagi golongan ibu berkerjaya untuk menyediakan kemudahan taska di bangunan kerajaan terutama di hospital dan universiti awam.

Tengku Zafrul berkata, sebagai mengiktiraf wanita berkerjaya yang menguruskan anak ketika waktu bekerja, kerajaan bercadang melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 bagi bayaran yuran taska dan tadika sehingga tahun taksiran 2023.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini