Beregu lelaki Nombor 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sekurang-kurangya perlu layak ke separuh akhir dalam mana-mana kejohanan yang bakal disertai tahun pada hadapan.

Timbalan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky berkata, sasaran itu diletakkan kepada mereka berdasarkan reputasi sebagai pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo, Ogos lepas.

Rexy yang baharu sahaja melapor diri di BAM pada 1 Disember lepas menjelaskan, seandainya pasangan ranking ke-7 dunia itu hanya mara sehingga ke suku akhir, maka ia dilihat sebagai satu kegagalan.

Bekas juara dunia dan pemenang pingat emas Olimpik itu turut berkata prestasi yang tidak konsisten dipamerkan Aaron-Wooi Yik selepas pencapaian membanggakan pada temasya sukan terbesar dunia di Jepun itu masih menjadi persoalan hingga kini.

Ini kerana beregu itu memiliki kualiti yang sangat mengagumkan seperti ketika mereka menewaskan gandingan Jepun yang menghuni ranking keempat dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi di Piala Sudirman September lepas.

Justeru, BAM perlu mencari punca sebenar prestasi tidak konsisten mereka itu jika mahu memastikan kualiti dan motivasi pasangan tersebut tidak menjadi semakin teruk.

Untuk rekod, dalam tujuh kejohanan disertai Aaron-Wooi Yik selepas Tokyo 2020, mereka hanya mara ke peringkat separuh akhir sebanyak dua kali iaitu di Terbuka Perancis 2021 dan Indonesia Masters 2021 selain membantu skuad negara layak ke separuh akhir Piala Sudirman 2021.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini