Setakat pukul 8 pagi tadi jumlah penduduk yang dipindahkan akibat banjir di enam negeri terus meningkat kepada 14,498 orang daripada 5,236 keluarga.

Ini selepas 14 lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka, menjadikan 228 PPS beroperasi di Selangor, Pahang, Kelantan, Terengganu, Melaka dan Negeri Sembilan.  

Menurut portal info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pahang merekodkan jumlah penduduk tertinggi dipindahkan, membabitkan 4,881 orang daripada 1,372 keluarga.

Mereka ditempatkan di 105 PPS di Kuantan, Jerantut, Lipis, Maran dan Raub. Angka itu meningkat berbanding 3,932 dicatatkan awal pagi tadi.

Sementara di Selangor, 4,778 orang daripada 2,760 keluarga masih ditempatkan di 56 PPS di Sepang, Klang, Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Subang Jaya.

Di Kelantan, 3,652 penduduk daripada 826 keluarga, dipindahkan di 44 PPS di Gua Musang, Jeli, Kuala Krai, Pasir Mas dan Tanah Merah.

Manakala di Terengganu, 261 orang ditempatkan di tiga PPS di Dungun.

Di Melaka, seramai 541 penduduk dipindahkan di 9 PPS di Alor Gajah dan Melaka Tengah.

Di Negeri Sembilan, 399 penduduk ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara di Port Dickson, Rembau, Kuala Pilah, Jelebu dan Seremban.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini