Sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di daerah Telang Usan, Miri malam tadi ekoran banjir yang melanda di beberapa kawasan tersebut.

Laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan, PPS Masjid Darussalam Long Lama itu menempatkan 24 penduduk daripada lima keluarga yang terjejas akibat banjir.

PPS tersebut dibuka pukul 9 malam tadi.
 
Sementara itu, Pegawai Daerah Telang Usan yang juga Pengerusi Pengurusan Bencana Daerah Telang Usan, Baru Tai ketika dihubungi memaklumkan antara kawasan terjejas ialah Pekan Long Lama, Kampung Long Miri Baram dan Kampung Long Bemang Apoh.
 
Turut terjejas, Kampung Long Atip Apoh, Kampung Long Wat Apoh, Kampung Long Ikang, Kampung Long Laput, Kampung Kayan Long Lama dan Kampung Cina Long Lama.
 
Menurut Baru, sebuah sekolah iaitu Sekolah Menengah Long Lama juga dinaiki air.
 
Kawasan tersebut mula dilanda banjir berikutan hujan lebat sejak semalam yang menyebabkan kawasan terbabit masih dinaiki air secara perlahan.
 
Mengenai bantuan makanan kepada hampir 20,000 penduduk terjejas, Baru berkata pihak Parlimen Baram telah menghantar bakul makanan.
 
Dalam pada itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon 6 Miri Penguasa Bomba Kanan Satu Law Poh Kiong turut menasihati penduduk terbabit untuk memindahkan barang-barang dan dokumen penting untuk keselamatan.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini