Jumlah siren yang dilengkapi amaran suara akan ditambah di lokasi berisiko banjir untuk mengarahkan penduduk berpindah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia antara cadangan penambahbaikan menghadapi  banjir yang dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Task Force Pengurusan Pasca Banjir.
 
Cadangan penambahbaikan itu turut meliputi Sistem Amaran Siren Banjir Berpusat dikoordinasi oleh Jabatan Pengairan dan Saliran serta kamera litar tertutup (CCTV) di stesen pemantauan aras air.

Bagi meningkatkan tahap perlindungan infrastruktur saliran dan pantai pula, Kementerian Alam Sekitar dan Air mencadangkan peningkatan tahap perlindungan atau ulangan reka bentuk infrastruktur saliran dan pantai daripada 100 tahun Average Recurrence Interval (ARI) kepada 200 tahun ARI.

Selain itu, mesyuarat juga meneliti cadangan berhubung penambahbaikan komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam,  menerusi aktiviti-aktiviti latih amal banjir dan maklumat yang dihebah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Strategi komunikasi itu melibatkan promosi hebahan amaran dan situasi semasa, hebahan bantuan-bantuan kerajaan, mengenal pasti isu berbangkit dan ditangani bersama pelbagai agensi, serta usaha mengesan berita palsu dan segera menyiarkan penafian.

Pelaksanaan semua inisiatif Pasca Banjir Bencana 2021/2022 itu akan sentiasa dipantau Task Force bagi memastikan mekanisme kesiapsiagaan dan pengurusan bencana negara sentiasa diperkemas dan berada pada tahap optimum.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini