Keadaan banjir di Pahang pulih sepenuhnya selepas pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Sekolah Kebangsaan Temai di daerah Pekan yang menempatkan 61 orang daripada 12 keluarga menamatkan operasi semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, gelombang pertama banjir di Pahang yang bermula 17 Disember lepas telah menyaksikan 67,333 orang daripada 18,243 keluarga ditempatkan di 432 PPS di sembilan daerah.

Gelombang kedua banjir pada 31 Disember lepas yang bermula di daerah Raub pula menyaksikan seramai 3,293 orang daripada 911 keluarga ditempatkan di 72 PPS di lapan daerah.

Sekretariat itu turut memaklumkan sebanyak 21 kematian dilaporkan sepanjang gelombang pertama banjir dengan daerah Bentong merekodkan bilangan kes tertinggi iaitu 11 orang diikuti Temerloh(4), Kuantan(3), Raub(2) dan Pekan(1) kes.

Bencana banjir di Pahang turut mengakibatkan beberapa laluan di dua lebuh raya utama Pahang dinaiki air iaitu Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1 namun telah dibuka secara berperingkat kepada pengguna selepas kerja-kerja pembersihan dilakukan.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini