Bapa kepada jaguh berbasikal trek kebangsaan, Datuk Mohd Azizulhasni, Awang Embong, 73 tahun, meninggal dunia akibat strok, awal pagi tadi. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kampung Nibong Stesen di Dungun, Terengganu pada pukul 2 pagi.

Abang ipar Azizulhasni, Mohd. Razman Mohamad berkata, arwah bapa mertuanya sebelum ini dimasukkan ke sebuah hospital swasta selama empat hari akibat masalah pernafasan tidak stabil.

Solat jenazah akan diadakan selepas solat Zohor di Surau Ustaz Omar Shukri dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya, Dungun.

Kali terakhir Azizulhasni yang kini berada di Melbourne, Australia itu bertemu bapanya adalah pada awal bulan lalu.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengucapkan takziah di atas pemergian bapa Azizulhasni. Menerusi ciapan di Twitter, beliau berharap jaguh berbasikal negara dan keluarganya tabah menghadapi dugaan.

Beliau turut mendoakan Allahyarham Awang Embong ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini