Bayaran bagi Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 2 bermula secara berperingkat hari ini. Bantuan tunai langsung itu memperuntukkan RM1.74 bilion dengan memanfaatkan 8.6 juta penerima.

Ia merangkumi 4 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas bujang atau tiada pasangan dan 3.4 juta individu bujang. BKM Fasa 2 telah ditambah baik dengan bantuan tunai tambahan bernilai RM630 juta.

Penerima boleh membuat semakan status pembayaran melalui portal BKM.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, BKM merupakan bantuan tunai langsung tertinggi dalam sejarah berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia; (BR1M) dan Bantuan Sara Hidup (BSH).

Kadar maksimum BKM berjumlah RM2,600 berbanding BR1M (RM1,200) dan BSH (RM1,480). Ini melibatkan peningkatan bantuan sebanyak 120 peratus sejak inisiatif bantuan tunai langsung mula diperkenalkan.

Penerima BKM seramai 8.6 juta berbanding BSH, 4.5 juta penerima. Had kelayakan untuk menerima BKM telah dinaikkan daripada pendapatan RM4,000 ke bawah sebulan kepada RM5,000 ke bawah sebulan.

Ini membolehkan lebih ramai Keluarga Malaysia layak menerima bantuan, termasuk sebahagian golongan M40, tidak terhad kepada golongan B40 seperti inisiatif bantuan tunai langsung sebelum ini.

Secara keseluruhan, peruntukan bagi bantuan tunai tersebut telah mencecah RM8 bilion tahun ini, memanfaatkan 12.6 juta individu, bersamaan 60 peratus populasi dewasa di negara ini.