Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski meledakkan dua gol ketika membantu kelab gergasi Jerman itu menang 5-2 ke atas Union Berlin pada aksi Bundesliga.

Ia juga merupakan jaringan ke-11 dan 12 pemain kebangsaan Poland itu, sekaligus muncul pendahulu senarai penjaring terbanyak liga. Bayern sebelum ini dikejutkan dengan kekalahan terbesar 0-5 di tangan Borussia Monchengladbach dalam kempen Piala Jerman Rabu lalu.

Bagaimanapun, mereka berjaya memadam igauan tersebut menerusi jaringan penalti Lewandowski sebelum penyerang berusia 33 tahun itu meledak gol kedua menerusi sepakan percuma.

Leroy Sane, Kingsley Coman dan Thomas Muller masing-masing turut menyumbang satu gol buat Bayern, sekaligus menamatkan rekod tanpa kalah tuan rumah dalam 21 perlawanan di gelanggang sendiri.

Kemenangan itu turut menyaksikan Bayern kembali mendahului liga dengan 25 mata daripada sembilan perlawanan, satu mata mengatasi pencabar terdekat Borussia Dortmund di tangga kedua.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini