Hujan lebat di puncak Gunung Jerai dalam tempoh beberapa jam pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di Daerah Yan, Kedah, kembali dinaiki air. Bagaimanapun, air kembali surut dalam tempoh beberapa jam kemudian.

Berdasarkan rakaman video penduduk, air dari Puncak Gunung Jerai yang mengalir melalui sungai di Pusat Rekreasi Titi Hayun melimpah ke kawasan daratan dan memasuki perkarangan chalet yang terletak berdekatan pusat rekreasi itu.
 
Pegawai Daerah Yan, Tunku Iskandar Shah Tunku Muzaffar Shah berkata, keadaan terkawal dan tiada penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara. Bagaimanapun pihaknya bersama beberapa agensi dan jabatan berkaitan sedang memantau rapi situasi tersebut berikutan cuaca tidak menentu ketika ini.

Beliau turut menasihatkan penduduk khususnya yang tinggal berhampiran sungai supaya sentiasa berwaspada dengan keadaan di sekeliling. Ini kerana, apa jua kemungkinan boleh berlaku berikutan trend hujan lebat sejak kebelakangan ini. Pusat Kawalan Operasi Bencana, PKOB yang dibuka bermula 18 Ogos lalu kekal beroperasi 24 jam bagi membantu mereka yang terkesan.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini