Tujuh lelaki yang berlagak sebagai marshal sehingga menghalang lalu lintas akhir tahun lalu didakwa di Mahkamah Majistret Port Dickson.

Dua daripada mereka, Ezy Effandy Mohd. Harif, 46 tahun, dan Mohammad Zaini Mohamed, 50 tahun, didenda RM1,500 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memotong kenderaan lain di garisan berkembar.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu yang menunggang motosikal berkuasa tinggi telah memotong kenderaan lain di  jalan raya bergarisan kembar, di Sungai Raya – Tanjung Agas pada 5 Disember lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada prosiding sama, mereka mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan, iaitu menimbulkan ketidakselesaan dan aksesori kenderaan mereka boleh menyebabkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, lima lelaki mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan menghalang lalu lintas.

Kesemua mereka yang menunggang motosikal berkuasa tinggi melakukan kesalahan itu di lampu isyarat Sua Betong pada 20 November 2021.

Mahkamah menetapkan 9 Februari untuk sebutan semula kes.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini