Bimbang dimarahi ibu bapa setelah seliparnya hilang, seorang kanak-kanak lelaki mendakwa dirinya diculik oleh seorang lelaki tidak dikenali yang bertopeng ninja, dalam kejadian di Permas Jaya, Johor, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata polis menerima laporan daripada seorang wanita berketurunan Orang Asli kira-kira jam 5 petang, yang mendakwa anaknya berusia 11 tahun hilang setelah pergi ke sebuah kedai runcit bersama pasangan kembarnya.

Wanita itu memberitahu anaknya telah memasuki kedai tersebut manakala  seorang lagi berada di luar kedai, namun selesai membeli barang anaknya mendapati pasangan kembarnya tiada di luar kedai lalu pulang ke rumah dan mengadu kepada ibunya.

Laporan polis dibuat setelah hampir dua jam kehilangan anaknya, namun beberapa ketika anaknya memberitahu kembarnya telah dijumpai orang awam dalam keadaan baik dan selamat.

Kanak-kanak tesebut dijumpai dua kilometer dari lokasi kejadian dan mendakwa dirinya diculik oleh seorang lelaki tidak dikenali yang memakai topeng ninja dan dibawa ke sebuah rumah, namun dia berjaya melarikan diri.

Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut terhadap kanak-kanak tersebut mendapati dia sebenarnya telah bermain kejar-kejar dengan sorang budak lelaki lain sehingga kehilangan selipar.

Dia yang bimbang dimarahi oleh ibu bapanya, telah mendakwa dirinya dibawa lari. Polis mengklasifikasikan kes  sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) setelah mendapati kes tiada unsur jenayah.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini