Pencapaian luar biasa atlet para negara Bonnie Bunyau Gustin pada 2021 terus mendapat pengiktirafan bukan sahaja di dalam Malaysia, malah juga di mata dunia.

Selepas menghadiahkan pingat emas pertama acara powerlifting di Sukan Paralimpik Tokyo, Ogos lepas, ‘Badang’ kelahiran Sarawak itu sekali lagi mencuri tumpuan apabila disenaraikan antara atlet para lelaki terbaik 2021 oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), baru-baru ini. Tahun 2021 menyaksikan Bonnie memulakan kejayaannya memecah rekod dunia dengan melakukan angkatan 230 kilogram pada Piala Dunia Powerlifting Para ke-11 di Dubai sekali gus meraih pingat emas.

Walaupun tidak berjaya mencipta rekod baharu pada Sukan Paralimpik Tokyo selepas itu, Bonnie tetap mempamerkan penguasaannya apabila mencipta rekod baharu temasya dengan angkatan 228 kg.

Atlet para berusia 22 tahun itu meneruskan dominasinya pada kejohanan Powerlifting Para Dunia 2021 di Tbilisi, Georgia awal bulan ini apabila dinobatkan juara dunia dengan angkatan 210 kg.

Menurut IPC dalam artikel bertajuk ‘The men who stole the show in 2021′, Bonnie meninggalkan alam persekolahan untuk memberi fokus kepada sukan powerlifting pada usia 15 tahun dan peningkatannya sangat mengagumkan.

Pencapaian itu turut menarik perhatian Majlis Paralimpik Malaysia yang menyampaikan ucapan tahniah menerusi laman Facebook persatuan.

Selain Bonnie, 10 atlet para daripada pelbagai sukan turut tersenarai dalam artikel berkenaan.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini