Beberapa negara Eropah semalam mengumumkan kes pertama mereka bagi varian koronavirus baharu yang sangat mudah berjangkit, ketika kerajaan di seluruh dunia mula menutup pintu untuk membendung penularan varian Omicron.

Britain, Jerman dan Itali mengesahkan kes pertama mereka bagi varian baharu Covid-19, manakala pihak berkuasa Belanda mengkuarantin 61 penumpang dari Afrika Selatan yang didapati positif Covid-19. Afrika Selatan mengadu ia ‘dihukum’ dengan larangan perjalanan udara kerana pertama kali mengesan varian itu, yang disebut oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai ‘varian membimbangkan’.

Beberapa negara di seluruh dunia mula menyekat perjalanan dari rantau Afrika untuk cuba mengelak sebarang ancaman terhadap usaha global menentang wabak itu. Dalam pada itu, saintis berlumba-lumba untuk menentukan ancaman yang ditimbulkan oleh strain yang sangat bermutasi, terutamanya sama ada ia boleh mengelak daripada vaksin sedia ada.

Ia terbukti lebih mudah ditularkan daripada varian Delta yang dominan. Britain semalam mengumumkan peraturan kemasukan yang lebih ketat untuk semua penumpang yang tiba dan kembali mewajibkan pelitup muka, selepas mengesahkan dua kes pertama jangkitan Omicron baharu Covid-19.

Sebuah hospital di Republik Czech mengesahkan kes varian Omicron pada pesakit wanita yang mengembara dari Namibia. Jerman mengesahkan dua kes pertama dalam pengembara yang tiba di lapangan terbang Munich dari Afrika Selatan. Itali mengumumkan kes pertama jangkitan varian baharu Covid-19 itu dalam pengembara dari Mozambique.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini