Cabaran Malaysia di Badminton Terbuka Denmark berakhir malam tadi,selepas wakil terakhir negara pasangan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, tewas di separuh akhir. Pasangan nombor ke-26 dunia itu, tewas kepada pasangan tuan rumah Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 11-21, 21-19, 18-21 pada perlawanan berlangsung hampir sejam di Odense Sport Park.

Perlawanan akhir menyaksikan pasangan nombor 11 dunia dari Denmark itu akan bertemu pasangan nombor 15 dunia Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun, yang menewaskan pasangan Jerman Mark Lamsfuss-Marvin Seidel 20-22, 21-18, 21-16 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Sze Fei-Nur Izzuddin layak ke separuh akhir selepas menewaskan pasangan nombor tujuh dunia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia 21-18, 21-17, pada Jumaat. Sementara pemain nombor satu perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia pula terkeluar selepas tewas kepada juara Olimpik, Viktor Axelsen 21-19, 21-19, pada peringkat suku akhir.

Pasangan beregu campuran nombor dua negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pula tewas 21-19, 12-21 dan 14-21 pada peringkat suku akhir, kepada pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo, Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini