Thailand memutuskan untuk menangguhkan sementara program kemasukan bebas kuarantin, “Test & Go” dalam usaha mengekang penularan varian Omicron.

Semua ketibaan baharu yang memohon selepas hari ini, perlu menjalani kuarantin wajib di hotel.

Jurucakap kerajaan, Thanakorn Wangboonkongchana berkata Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha mengarahkan permohonan pas untuk program “Test & GO” dan “Sandbox” (kecuali Phuket Sandbox) digantung sementara bermula tengah malam tadi, sehingga diberitahu kelak.

Langkah itu akan dikaji semula pada 4 Januari depan.

Sehingga kini, terdapat kira-kira 200,000 pelawat mendaftar untuk program “Test & Go” dan “Sandbox”, termasuk 110,000 yang telah diluluskan untuk kemasukan tanpa kuarantin manakala 90,000 lagi menunggu kelulusan.

Pihak berkuasa berkaitan akan memantau situasi COVID-19 serta perkembangan terkini varian Omicron di negara ini.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas Thailand melaporkan kes pertama penularan tempatan varian Omicron.

Setakat ini, Thailand melaporkan sekurang-kurangnya 63 kes varian Omicron yang disahkan manakala 20 lagi kes kemungkinan.

Mulai 1 November, Thailand telah membuka pintu kepada pengembara lengkap vaksin COVID-19 dari 63 negara dan wilayah.

Di bawah program “Test & Go”, sebanyak 227 kes COVID-19 telah dikesan pada bulan ini berbanding 83 kes pada November.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini