Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo sekali lagi menjadi penyelamat Manchester United apabila jaringan lewatnya membantu pasukan tersebut seri 2 sama dengan Atalanta.

Kejayaan mengutip satu mata itu dilihat amat penting buat United, sekali gus mencerahkan peluang mereka layak ke peringkat kalah mati.

Pada aksi di Bergamo itu, Ronaldo meledakkan dua gol untuk membantu United menyamakan kedudukan selepas ketinggalan hasil jaringan pemain Atalanta, Josip Ilicic di babak pertama dan Duvan Zapata di babak kedua.

Ini kali ketiga dalam 4 penampilan Eropah, Ronaldo menyelamatkan maruah United dengan jaringan lewatnya. Penyerang berusia 36 tahun itu sebelum ini meledakkan gol kemenangan pada masa kecederaan ketika menewaskan Villarreal 2-0 dan Atalanta 3-2 di Old Trafford.

Keputusan seri itu juga berjaya mengurangkan tekanan ke atas pengurus, Ole Gunnar Solskjaer yang menganggap pemenang Ballon d’Or 5 kali itu seperti legenda bola keranjang Chicago Bulls, Michael Jordan. Ketika ini, The Red Devils masih kekal di tangga teratas Kumpulan F dengan 7 mata selepas 4 perlawanan, diikuti rapat Villarreal dengan perbezaan jaringan.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini