Komuniti maritim terutama nelayan dan pengunjung pantai peranginan dinasihat  berwaspada dan menangguhkan dahulu aktiviti melibatkan perairan susulan cuaca buruk di Negeri Sembilan dan kebanyakan negeri ketika ini.

Ini kerana perairan negeri ini diramalkan berlaku air pasang besar dengan tiupan angin Monsun Timur Laut yang lebih kuat sehingga Rabu ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata keadaan laut ketika ini juga adalah berbahaya kepada bot-bot kecil berikutan hujan lebat dan laut bergelora dengan ombak boleh mencapai ketinggian sehingga 1.5 meter.

Bagaimanapun, sekiranya masih perlu ke laut, mereka harus sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan dengan memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca terlebih dahulu serta memastikan bot dalam keadaan selamat.
 

Mereka juga perlu membawa Peranti Pengesan Peribadi yang membantu mempercepatkan bantuan di laut jika berlaku sebarang kecemasan selain menghubungi talian Pusat Operasi Maritim yang beroperasi 24 jam.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini