Pasukan Gerakan Am (PGA) terpaksa melepaskan beberapa das tembakan sebelum berjaya menahan seorang lelaki dipercayai cuba menyeludup ayam sejuk beku dari negara jiran.

Sebanyak 838 kilogram ayam sejuk beku bernilai RM10,350 dirampas ketika penangkapan suspek di Kampung Bukit Lata di Pasir Mas, semalam.

Komander PGA Briged Tenggara, Datuk Hasan Basri Ahmad Safar dalam satu kenyataan berkata, sekitar 9 pagi semalam, anggota PGA ternampak lelaki mencurigakan sedang memunggah kotak daripada sebuah perahu ke dalam kereta berdekatan pangkalan haram Jitong di tebing Sungai Golok.

Suspek berumur 27 tahun itu bertindak melarikan diri, selepas menyedari kehadiran anggota PGA. Suspek memecut kenderaan dan cuba merempuh beberapa anggota PGA yang cuba menghalangnya, sebelum tembakan dilepaskan.

Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan suspek, terdapat 69 kotak berisi ayam sejuk beku yang disyaki diseludup dari Thailand untuk pasaran tempatan, dan suspek didapati mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 39 Akta Senjata Api dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini