Dakwaan kartel dalam industri ayam. Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menerusi pasukan khasnya sedang menilai laporan penyiasatan mengenai perkara tersebut.

Sekiranya terdapat bukti kartel, keputusan cadangan di bawah Seksyen 36 Akta Persaingan 2010 akan dikeluarkan terhadap pihak berkenaan. Namun jika tiada bukti menunjukkan unsur-unsur pelanggaran, MyCC akan menutup penyiasatan selaras Seksyen 16 akta sama.

MYCC memaklumkan, Pengerusinya Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus dan lapan anggota MyCC bersidang semalam untuk pembentangan laporan penyiasatan oleh pasukan khas berkenaan.

MyCC akan mengeluarkan keputusan akhir untuk menentukan sama ada berlakunya pelanggaran atau tidak di bawah Akta Persaingan 2010.

Sekiranya terdapat pelanggaran, penalti kewangan sehingga 10 peratus daripada pusing ganti seluruh dunia dan pengenaan arahan tertentu yang dianggap wajar oleh MyCC, boleh dikenakan. MyCC menubuhkan pasukan khas susulan arahan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara awal tahun ini bagi menyiasat dakwaan kartel dalam industri ayam.