Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony diarah membela diri atas pertuduhan memalsukan surat kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Mahkamah menetapkan 3 Januari tahun depan untuk Datuk Peter membela diri.

Mengikut pertuduhan, Datuk Peter merupakan Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri di Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Datuk Peter juga berdepan pertuduhan pilihan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan pernyataan palsu pada tajuk surat itu di tempat dan masa yang sama.

Beliau didakwa mengikut  Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini