Atlet olahraga para negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi kini selangkah lagi untuk mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di Rio 2016 apabila berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir acara 100 meter lelaki T36 petang tadi.

Mohamad Ridzuan yang lebih dikenali dengan “Dek Wan” mencatat masa 12.06 saat untuk menjuarai saringan kedua di pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Olimpik, Tokyo.

Pada saingan tersebut, Mohamad Ridzuan berjaya mengatasi pencabar terdekat, Yang Yifei dari China di tempat kedua dan atlet Jawatankuasa Paralimpik Rusia, Evgenii Shvetsov di tempat ketiga.

Berdasarkan catatan masa, Mohamad Ridzuan menduduki tempat keempat secara keseluruhan dalam senarai lapan pelumba yang layak ke final.

James Turner dari Australia mencuri tumpuan apabila bukan sahaja muncul pelari terpantas, malah turut memecahkan rekod Paralimpik milik Mohamad Ridzuan 12.07 saat yang dicatat di rio 2016, dengan catatan baharu 11.87 saat.

Turner juga merupakan pemegang rekod dunia dengan catatan 11.72 saat dalam Kejohanan Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada 2019.

Aksi final akan berlangsung pagi esok, pukul 9.38 pagi waktu Malaysia.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini