Isu doping yang kembali menghantui arena angkat berat negara mencetuskan keresahan buat Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) sekiranya badan induk itu sekali lagi dikenakan hukuman oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).

Perkara itu diluahkan Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat susulan tiga kes penggunaan bahan terlarang direkodkan atlet angkat berat pada tahun ini dengan terbaharu membabitkan seorang atlet wanita yang disahkan positif sibutramine. Menurut Datuk Ayub, sekiranya PABM dikenakan denda oleh IWF, jumlah hukuman tersebut perlu dibayar oleh atlet atau persatuan negeri terlibat.

Selain itu, badan sukan angkat berat negara itu juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas seperti hukuman penggantungan terhadap negeri yang gagal memantau atlet di bawah seliaan masing-masing.

IWF pada 2019 mendenda PABM sebanyak 25,600 dolar AS berikutan kes doping membabitkan empat atlet negara, selain turut digantung daripada menyertai sebarang aktiviti IWF selama setahun.

Khamis lepas, Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) Azura Abidin mengesahkan, seorang badang wanita berusia 22 tahun, didapati positif doping pada Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan yang berlangsung di Rompin, Pahang pada Oktober lepas.

Pada Mei lalu, pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018 Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad dan Muhammad Ikram Haikal Muhammad Zuari didapati positif anabolik steroid yang menyaksikan PABM membubarkan skuad angkat berat kebangsaan.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini