Dua pegawai SPRM memberi keterangan berbeza berkaitan rakaman percakapan kepada Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur berhubung kes rasuah Lim Guan Eng melibatkan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang.

Pada prosiding semalam, Penolong Penguasa, Mohamad Hambia berkata mendiang Datuk Ewe Swee Kheng mengaku berasa selesa dan tidak kelihatan takut ketika percakapannya dirakam sebanyak dua kali pada 22 dan 24 Julai 2020 di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Manakala, seorang lagi pegawai perakam, Penolong Penguasa Muhammad Nazree Mansor memberitahu mendiang Datuk Ewe pernah meluahkan kebimbangan kepada SPRM berhubung keselamatannya ekoran pendedahan kepada SPRM.

Bagaimanapun menurut Nazree, mendiang menolak tawaran SPRM untuk dilindungi oleh pihak berkuasa sebagai saksi kerajaan walaupun risaukan keselamatannya.

Datuk Ewe Swee Kheng yang sepatutnya dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-15, bagaimanapun ditemukan maut selepas terjatuh dari kondominium mewah The Palazzo, Jalan Kelawei, Pulau Pinang pada 5 Oktober 2021.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 23 Jun depan.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini