Dua sahabat maut selepas dirempuh dan diseret sebuah kereta yang terbabas di Kilometer 18, Jalan Paka-Bandar Al Muktaffi Billah Shah, Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5.15 petang, Kamariduan Mohamed, 41, maut di tempat kejadian, manakala Mohd Rosdi Yaakob, 48, meninggal ketika menerima rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, kira-kira 7 petang.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sebelum kejadian, Kamariduan yang juga seorang peniaga sayur dikatakan sedang menunggu bekalan sayur.

Mangsa dikatakan bertemu dengan Mohd Rosdi yang bekerja di sebuah kedai peralatan dan berbual berhampiran sebuah gerai di tepi jalan.

Secara tiba-tiba sebuah kereta dipandu lelaki berusia 25 tahun terbabas sebelum merempuh gerai terbabit dan kedua-dua mangsa.

Rempuhan kuat menyebabkan mangsa serta gerai itu diseret sejauh kira-kira 20 meter.

Manakala, peniaga gerai terbabit terselamat kerana pulang ke rumahnya untuk solat.

Pemandu kereta berkenaan hanya cedera ringan dan dirawat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini