Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) TIDAK DAPAT menentu-sahkan kewujudan kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti didakwa bekas Ketua Polis Negara – Tan Sri Abdul Hamid Bador pada Mac tahun lalu.

Pengerusi EAIC – Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, keputusan itu adalah dapatan siasatan badan tersebut berdasarkan keterangan saksi-saksi serta dokumen yang diperoleh.

Jelasnya, siasatan berhubung dakwaan wujud gerakan membabitkan pegawai PDRM yang ingin menjatuhkan Tan Sri Abdul Hamid itu, telah selesai.

Ia akan diserah kepada Ketua Setiausaha Negara. Siasatan EAIC mendapati, wujud asas bahawa terdapat pegawai PDRM yang terlibat dalam kegiatan sindiket jenayah. Kesemua pegawai berkenaan telah disiasat SPRM dan PDRM.

Bagaimanapun, dakwaan Tan Sri Abdul Hamid bahawa pegawai-pegawai tersebut dapat mencaturkan perjawatan dalam PDRM untuk menguasai pasukan demi kepentingan peribadi, tidak dapat ditentu-sahkan.

Ini kerana, keterangan diperoleh EAIC menunjukkan, mekanisme pelantikan, kenaikan pangkat dan pertukaran yang diamalkan PDRM dan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) melibatkan proses yang teliti.

Juga, mempunyai beberapa peringkat lapisan yang sukar ditembusi dan dicampur tangan pihak luar.

Selain itu, Ketua Polis Negara merupakan ahli tetap SPP dan sebarang cadangan berhubung pelantikan, kenaikan pangkat dan pertukaran pegawai kanan PDRM perlu mendapat persetujuannya.

Kedudukan Tan Sri Abdul Hamid selaku Ketua Polis Negara juga tidak dapat digugat kerana pelantikan jawatan itu adalah berdasarkan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan atas nasihat Perdana Menteri.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini