Enam saintis muda negara diberi pengiktirafan mewakili Malaysia pada Mesyuarat Nobel Laureate ke-71 di Lindau, Jerman bermula hari ini hingga 1 Julai.

Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM) Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail berkata mereka ialah Dr Enis Nadia Md. Yusof, Dr Goh Choon Fu, Dr Nur Azzalia Kamaruzaman dan Dr Oh Wen Da kesemuanya daripada Universiti Sains Malaysia.

Saintis lain ialah Dr Sazlinda Kamaruzaman (Universiti Putra Malaysia) dan Dr Low May Lee daripada International Medical University Malaysia (IMU).

Kesemua mereka akan disertai kira-kira 600 saintis muda lain dari seluruh dunia pada mesyuarat yang kini dilaksanakan secara fizikal.

Malaysia menghantar 81 saintis muda untuk mengambil bahagian pada mesyuarat itu sejak 2004.

Mesyuarat berkenaan platform terbaik buat saintis muda yang juga peneraju sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik negara, bagi membina jaringan bersama saintis terbaik di peringkat antarabangsa.