Manchester United terselamat daripada berputih mata apabila berjaya mencatat keputusan seri ketika menentang Newcastle United awal pagi tadi.

Selepas dua perlawanan sebelum ini ditunda, United akhirnya dapat kembali beraksi.

Bermain di St James’ Park, skuad kendalian Ralf Rangnick ketinggalan seawal minit ke-7 hasil jaringan Allan Saint-Maximin.

Percubaan demi percubaan dilakukan United selepas itu namun buntu untuk memecahkan benteng pertahanan tuan rumah.

Pada minit ke-71, barulah pelawat mampu menarik nafas lega apabila Edinson Cavani yang dibawa masuk selepas rehat berjaya menyumbat masuk gol penyamaan.

Ia merupakan gol pertamanya sejak Oktober sekaligus mengelak kekalahan pertama Rangnick dalam empat perlawanan awal selaku pemangku pengurus The Red Devils.

United kekal di tangga ketujuh Liga, tujuh mata di belakang pasukan tangga keempat Arsenal bersama baki dua perlawanan.

Newcastle pula naik ke tangga ke-19 namun kekal di zon penyingkiran.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini