Ketua Jurulatih pasukan Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya dan pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim masing-masing dikenakan hukuman tatatertib oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu berkata hukuman tersebut diputuskan jawatankuasa itu dalam mesyuarat kali kelima bagi penggal 2021-2025.

Rezal dikenakan hukuman penggantungan selama dua bulan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti pentadbiran, pengurusan  serta aktiviti berkaitan dan didenda sebanyak RM10,000.

Bekas pemain tengah skuad kebangsaan itu membuat kenyataan  berhubung isu berkaitan FAM tanpa kebenaran yang mampu memberi impak negatif ke atas nama baik dan reputasi badan induk itu ketika aksi Piala Malaysia antara Kelantan dan Sabah FC, 30 September lepas.

Penggantungan ke atas Rezal adalah satu bulan pertama dari 30 Disember 2021 hingga 29 Januari 2022 manakala penggantungan satu bulan kedua dari 30 Januari hingga 28 Februari tahun depan ditangguh tertakluk kepada kelakuan baik.

Sementara itu, Safiq pula dihukum atas tindakannya berkelakuan ganas menanduk muka pemain lawan pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia antara JDT dan Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 26 November lalu.

Justeru, bekas kapten skuad kebangsaan itu dikenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan dengan aksi final Piala Malaysia 2021 antara Kuala Lumpur City FC dan JDT pada 30 November adalah yang pertama.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini