Susulan pencapaian kurang memberangsangkan dalam kempen Piala AFF Suzuki 2020 bulan lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menubuhkan satu Badan Siasatan Bebas bagi melakukan ‘post-mortem’ ke atas prestasi pasukan.

Badan siasatan tersebut akan dianggotai individu-individu di luar FAM bagi memastikan keputusan lebih telus dan adil.

Menerusi satu kenyataan media, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu bekas pemain kebangsaan  Datuk Dell Akbar Khan dilantik mengetuai badan siasatan bebas ini.

Bekas Ketua Polis Kuala Lumpur itu turut diberi mandat untuk melantik beberapa individu lain bagi menganggotai badan siasatan bebas tersebut.

Individu yang dilantik itu pula perlu memiliki pengalaman dalam bola sepak, termasuk bekas pemain serta jurulatih, yang tidak memegang sebarang jawatan atau berkaitan dengan FAM.

Tugas utama badan bebas ini adalah untuk melakukan bedah siasat  terhadap laporan dan analisis lengkap prestasi skuad Harimau Malaya di Singapura yang telah pun siap dan diserahkan kepada FAM, baru-baru ini.

Hasil daripada bedah siasat itu kemudian akan dibentangkan oleh Datuk Dell Akbar bersama langkah-langkah penambah baikan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM.

Pada kempen Piala AFF 2020 bulan lalu, skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe mencatat dua kemenangan ke atas Kemboja dan Laos, sebelum tewas baki dua perlawanan kepada Vietnam dan Indonesia, sekali gus gagal ke separuh akhir.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini